SYARAT SAH DUA KALIMAH SYAHADAH

Muqaddimah

Mengucapkan dua kalimah syahadah merupakan rukun Islam yang pertama. Seorang kafir yang ingin memeluk Islam mestilah mengucapkannya. Ini kerana keimanan yang berada di hati tidak akan diketahui melainkan dizahirkan dengan ucapan. Namun, ucapan dua kalimah syahadah tanpa keimanan di hati, tidaklah menjadikan seseorang itu Islam di sisi Allah SWT.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ.
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang sebenar) melainkan Allah, dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah (Rasulullah).

Maksud Dua Kalimah Syahadah
Syahadah yang pertama bermaksud meyakini bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah SWT. Dialah yang berhak disembah, dan segala yang disembah selain Allah adalah salah dan palsu. Syahadah pertama menafikan segala apa yang disembah selain Allah dan juga menetapkan bahawa ibadah atau penyembahan hanya layak untuk Allah SWT. Syahadah kedua bererti mengakui kerasulan Nabi Muhammad dan menerima segala ajaran baginda, kerana baginda adalah utusan Allah kepada manusia.

Syarat Sah Syahadah “La ilaha illallah”
Seseorang yang mengucapkan syahadah, tidak akan sempurna syahadahnya melainkan dengan syarat-syarat berikut:-
1- Ilmu (Mengetahui dan memahami makna syahadah itu)
2- Yakin dengan apa yang difahami itu.
3- Menerima kandungan kalimah syahadah itu dengan hati dan lidah.
4- Patuh dengan maknanya dan tidak melakukan perkara yang membatalkannya.
5- Membenarkan hati dengan apa yang disebutkan lidah
6- Ikhlaskan syahadah hanya kepada Allah dan menjauhkan kesyirikan.
7- Mencintai segala tuntutan dan ajaran kalimah syahadah itu.
8- Menolak segala yang bertentangan dengan tuntutan syahadah.

Syarat Pertama: Ilmu ( Mengetahui Dan Memahami)
Seorang yang bersyahadah mestilah mengetahui dan memahami makna kalimah syahadah itu, samada nafi (penafian kepada sebarang sembahan selain Allah) atau isbat (meyakini hanya Allah yang layak dianggap sebagai tuhan). Dia mestilah memahami apa ajaran yang tersirat di sebalik syahadah tersebut. Firman Allah SWT:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
Ertinya: “Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah”. Surah Muhammad: 19. 

Usman bin Affan menyatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
Ertinya: “Sesiapa yang mati, sedangkan dia mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga”. Hadis riwayat Muslim.

Syarat kedua: Yakin
Pengetahuan dan kefahaman yang ada tadi mestilah diyakininya seratus peratus, tanpa sebarang keraguan dan syak. Ini kerana aqidah yang disertakan dengan keraguan bukanlah aqidah yang sebenar dan ia tertolak. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar”. Surah al-Hujurat: 15.

Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Nabi s.a.w. memberikan kepadanya dua kasut baginda dan bersabda:
فَمَنْ لَقِيْتَ مِنْ وَرَاءَ هَذَا الْحَائِطِ يَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ مَسْتَيْقِنًا بِهَا قَلْبُهُ، فَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ
Ertinya: “Sesiapa sahaja yang kamu jumpa di belakang kebun ini, yang menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dengan hati yang penuh yakin, maka gembirakanlah dia dengan (ganjaran) syurga”. Hadis riwayat Muslim.

Syarat Ketiga: Terima
Ilmu dan keyakinan tadi tidak lengkap tanpa menerima apa sahaja kandungan ajaran kalimah ini dengan hati dan lidahnya. Janganlah dia menyombongkan diri dengan menolak sebahagian ajaran “La ilha illallah”. Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ
Ertinya: “Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka: "Laa ilaaha illallah" (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) mereka menyombongkan diri”. Surah as-Sofat: 35.
Orang yang memahami dan meyakini bahawa Islam adalah agama yang benar, namun menolaknya, maka ia adalah orang yang kafir.

Syarat Keempat: Patuh
Kepatuhan atau penyerahan diri yang sempurna terhadap tuntutan syahadah, dan meninggalkan segala yang membatalkan syahadah juga merupakan pelengkap kepada syarat sah syahadah. Orang yang bersyahadah sekali-kali tidak boleh melakukan perkara yang boleh membatalkan syahadahnya. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ
Ertinya: “Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (patuh), sedang dia adalah orang yang muhsin, (beraqidah dan melakukan amalan dengan penuh keikhlasan), maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh (“La ilaha illallah”)”. Surah Luqman: 22.

Ini bukanlah bererti orang yang melakukan maksiat itu terbatal syahadahnya, namun ia mengurangkan keimanannya. Dan jika dia tidak patuh, sehingga melakukan apa yang boleh membatalkan syahadahnya, maka keimanannya sudah tidak berguna lagi, bahkan syahadahnya tertolak dan tidak diterima, sehinggalah dia kembali bertaubat (dengan bersyahadah, patuh dan menyempurnakan keseluruhan syarat syahadah).

Syarat Kelima: Benar
Syahadah menuntut supaya benar ucapan lidah dengan keyakinan di hati. Orang yang mengucapkan syahadah di lidah, tetapi kosong daripada keimanan di hati adalah orang kafir munafiq. Firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ (8) يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Ertinya: “Di kalangan manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri sendiri, sedang mereka tidak sedar”. Surah al-Baqarah: 8-9.

Kerana inilah Rasulullah s.a.w. bersabda sebagaimana yang diceritakan oleh Muaz bin Jabal r.a.:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اللهِ صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ إِلاَّ حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ.
Ertinya: “Sesiapa sahaja yang bersaksi dengan benar dari hatinya bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah (pesuruh Allah), maka Allah akan haramkannya daripada Neraka”. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Syarat Keenam: Ikhlas (Bersih Daripada Syirik)
Orang yang bersyahadah perlu mengikhlaskan ibadah dan perhambaan hanya kepada Allah. Dia perlu membersihkan dirinya daripada sebarang syirik, kerana ia akan membatalkan syahadahnya. Bahkan amalan yang dilakukan juga perlu bersih daripada riak dan mencari nama dan kemegahan, supaya ibadahnya diterima Allah. Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ
Ertinya: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus”. Surah al-Bayyinah: 5.

Itban bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

فَإِنَّ اللهَ قَدْ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ يَبْتَغِيْ بِذَلِكَ وَجْهَ اللهِ.
Ertinya: “Sesungguhnya Allah telah haramkan api neraka kepada sesiapa yang mengucapkan (La ilaha illallah) “Tiada tuhan melainkan Allah”, dengan tujuan mencari keredhaan Allah”. Hadis riwayat Bukhari.

Syarat Ketujuh: Cinta Dan Sayang
Kesemua syarat yang lepas tidak akan sempurna tanpa kecintaan kepada Allah SWT dan juga ajaranNya. Firman Allah SWT

وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ
Ertinya: “Dan orang-orang yang beriman sangat-sangat mencintai Allah (melebihi segala-galanya)”. Surah al-Baqarah: 165.

Dan tanda kecintaan kepada Allah ialah mencintai apa yang dicintai Allah dan membenci apa yang dibenci Allah. Orang yang mencintai Allah dengan sendirinya akan mentaati Allah dan meninggalkan laranganNya. Dia akan menyokong orang yang menyokong ajaran Allah dan membenci orang yang membenci dan menafikan ajaran Allah, walau sesiapa pun. Kerana inilah asas keimanan yang paling penting ialah kecintaan kepada Allah. Dan orang yang membenci Allah SWT dan ajaranNya adalah orang yang kafir murtad, dan terbatal segala amalannya. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا فَتَعْسًا لَهُمْ وَأَضَلَّ أَعْمَالَهُمْ (8) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ
Ertinya: “Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amalan-amalan mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan oleh Allah (Al Quran), lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amalan-amalan mereka.” . Surah Muhammad: 8-9.

Syarat Kelapan: Menolak Segala Yang Bertentangan Dengan Syahadah
Di samping semua perkara tadi, syahadah tidak akan sempurna melainkan setelah ditolak segala sembahan selain Allah dan segala ajaran selain Allah. Ini kerana syahadah yang pertama ini bukan sahaja bererti mengisbatkan ketuhanan Allah SWT, tetapi juga menafikan ketuhanan kepada selain Allah, kepatuhan yang mutlak kepada selain Allah dan menafikan segala ajaran dan hukum selain Allah.
Orang yang mengakui ketuhanan Allah SWT dan menyembahNya, tetapi menyembah juga perkara lain selain Allah adalah orang yang kafir. Firman Allah SWT:
Firman Allah SWT:

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لاَ انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Ertinya: “Maka sesiapa yang mengkufuri Thaghut (syaitan dan apa saja yang disembah selain dari Allah s.w.t.) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kukuh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Surah al-Baqarah: 259.

FirmanNya lagi:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
Ertinya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut ". Surah an-Nahl: 36.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَكَفَرَ بِمَا يُعْبَدُ مِنْ دُونِ اللهِ حَرُمَ مَالُهُ وَدَمُهُ، وَحِسَابُهُ عَلَى اللهِ.
Ertinya: “Sesiapa yang menyatakan bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan mengkufuri apa sahaja yang disembah selain Allah, maka terpeliharalah harta dan darahnya. Dan perhitungan (yang sebenar terserah) kepada Allah”. Hadis riwayat Muslim. 

Firman Allah SWT:
وَلا يَأْمُرَكُمْ أَنْ تَتَّخِذُوا الْمَلائِكَةَ وَالنَّبِيِّينَ أَرْبَابًا أَيَأْمُرُكُمْ بِالْكُفْرِ بَعْدَ إِذْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Ertinya: “Dan (tidak wajar pula bagi seorang Rasul) menyuruhmu menjadikan malaikat dan para nabi sebagai tuhan. Apakah (patut) dia menyuruhmu kufur (kafir) sesudah kamu (menganut agama) Islam?"”. Surah Ali Imran: 80. 

FirmanNya lagi:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ بْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Ertinya: “Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka tidak disuruh melainkan menyembah tuhan yang Esa, tidak ada tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”. Surah at-Taubah: 31.

Dan orang yang mengaku beriman, namun masih menerima selain hukum Islam sebenarnya orang yang kurang yakin dengan Islam dan akidahnya tertolak. Begitu juga orang yang mengaku beriman, tetapi masih menerima selain ajaran Allah dan tidak menganggapnya sesat, maka dia sebenarnya adalah orang yang kafir.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلالا بَعِيدًا (60) وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا ((61
Ertinya: “Adakah kamu tidak melihat orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? (Padahal) mereka hendak berhakim kepada thaghut, sedangkan mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. dan syaitan (pula) ingin menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang telah diturunkan Allah dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu”. Surah an-Nisa’: 60-61.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Ertinya: “Apakah hukum Jahiliyah yang mereka mahu, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”. Surah al-Maidah: 50.

Syarat Tambahan Tentang Syahadah Kenabian
Syahadah yang kedua mengandungi pengiktirafan bahawa Nabi Muhamad adalah hamba pilihan Allah dan merupakan Rasul iaitu utusan Allah kepada manusia untuk menyampaikan ajaran Allah SWT. Syahadah kedua tidak lengkap melainkan dengan:
1- Mengiktiraf dan meyakini kerasulan Nabi Muhammad
2- Melafazkan pengiktirafan tersebut dengan lidah
3- Mengikuti baginda dengan mengamalkan kebenaran yang dibawanya dan meninggalkan kebatilan yang dilarang oleh baginda.
4- Membenarkan segala ajaran baginda
5- Mempercayai segala perkara ghaib yang dibawa oleh baginda
6- Mencintai baginda melebihi segalanya, termasuk diri sendiri, anak isteri & ibu bapa.
7- Mendahulukan ajaran baginda berbanding ajaran orang lain dan mengamalkan sunnah baginda.

Kelebihan Dua Kalimah Syahadah
Tidak ada satu kalimah yang lebih hebat daripada mengaku ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan inilah asas pertama yang membezakan antara Islam dan kufur. Orang yang enggan mengakuinya merupakan penderhaka yang memilih jalan ke neraka. Ubadah bin as-Somit r.a. meyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ، حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ النَّارَ. رَوَاهُ مُسْلِم.
Ertinya: “Sesiapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, maka Allah akan mengharamkannya daripada neraka”. Riwayat Muslim.

Asas Agama Islam
Berdasarkan dua kalimah syahadah, asas agama Islam ialah:-
1- Jangan disembah melainkan Allah. ( Difaham daripada syahadah pertama)
2-Jangan menyembahNya melainkan dengan cara yang ditentukanNya. Iaitu melalui perantaraan Rasulullah s.a.w. (Difaham daripada syahadah kedua)

Labels:

2 comments:

  1. IBU WAFIQ said...:

    salam kenal..banyak tul info..

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

uLiKe i lIkE

ULiKe i lIkE

Labels

My Blog List

Coretan yang lepas

get this widget here

....................................

Dia tahu yang dia itu tahu..
dia adalah bijak.... ikutilah dia.

Dia tidak tahu yang dia tahu..
dia kurang bijak... bimbinglah dia.

Dia tahu yang dia tidak tahu..
dia adalah bodoh.. ajarkan dia.

Dia tidak tahu yang dia tidak tahu..
Dia adalah bodoh sombong......
jauhilah dia.

Lelaki Soleh

1)Sentiasa taat kpd Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

2)Jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidupnya.

3)Mati Syahid adalah cita-cita hidup yg tertinggi.

4)Sabar dalam menghadapi ujian dan cubaan dari Allah.
5)Ikhlas dalam beramal.

6)Kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupnya.

7)Sangat takut kepada ujian Allah dan ancamannya.

8)Selalu memohon ampun atas segala dosa-dosanya.

9)Zuhud dgn dunia tetapi tidak meninggalkannya.

10)Solat malam menjadi rutin harian.

11)Tawakal penuh kpd Allah dan tidak mengeluh kecuali kpd Allah Taala.

12)Selalu berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

13)Menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah di antara mereka.

14)Sangat kuat amar maaruf dan nahi mungkarnya.

15)Sangat kuat memegang amanah,janji dan kerahsiaan.

16)Pemaaf dan lapang dada dalam menghadapi kebodohan manusia,sentiasa saling mengingatkan sesama ikhwan dan tawadhu' penuh kpd Allah S.W.T.

17)Kasih sayang dan penuh pengertian kpd keluarga.

anda pengunjung ke

Tugas-tugas dan kewajipan lelaki soleh:

1)Mencari nafkah(belanja hidup)

2)Berjihad Fisabilillah.

3)Melindungi dan membela kaum yg lemah dan tertindas.

4)Memimpin,mendidik dan berlaku adil terhadap isteri.

CaBuTaN BeRtUaH

.......................................

KaLaM uKhuWaH


ShoutMix chat widget

Asma al-Husna

TeRkInI PaLeStIn

WeLcOmE To mY BlOg


WeLcOmE To mY BlOg


RuGi x cUbA

IsLaMiC CaLEnDaR

..:::::::: WaKtU SOlAt ::::::::..

Powered by Blogger.

Popular Posts

Followers